Friday, November 28, 2014

MIRI 0 - 5 SARAWAK


Sarawak berjaya menundukkan pilihan Miri dengan 5-0 pada perlawanan bola sepak persahabatan dalam Siri Jelajah Sarawak-Sabah di Stadium Miri, petang semalam.

Ketua Pasukan Sarawak, Joseph Kalang Tie menyifatkan tiga aksi pemanas badan dalam siri jelajah pasukannya sangat penting sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) musim baharu yang akan disingkapkan tirainya pada Januari depan.

“Pasukan Sarawak mengalami perubahan besar setelah ramai muka baharu diperkenalkan. Justeru, aksi persahabatan ini akan menjadi penilaian kemampuan pemain-pemain selain memberi peluang untuk mencari keserasian kalangan kami.

“Jurulatih (Robert Alberts) juga pastinya mahu menggunakan peluang ini untuk mengkaji strategi yang boleh diguna pakai apabila berdepan saingan sebenar nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Skuad Sarawak kini dalam siri jelajah ke tiga lokasi iaitu Miri, Sabah dan Limbang. Mereka akan menentang Sabah malam esok (30 November) di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Sarawak akan melengkapkan siri jelajah menentang pilihan Limbang di Stadium Mini Limbang pada 2 Disember, jam 3.30 petang selepas sesi bertemu peminat. - Utusan Borneo

Baca lagi
> Sanchez (Real Madrid) Jurulatih Bakat Muda Sarawak

No comments:

Post a Comment