Empat pemain import asing yang ditandatangani Sarawak sudah mula menunjukkan gandingan mantap bagi menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Lebih menarik, jelas pengendali Sarawak Robert Alberts mereka berempat juga agak serasi bersama-sama pemain tempatan dan ini merupakan berita gembira buat pasukan Ngap Sayot.
Menurutnya, Ryan Griffiths dan Billy Mehmet bakal menjadi penggempur hebat manakala Ivan Fatic dan Ronald Hikspoors agak baik di benteng tengah dan pertahanan.
“Keserasian sudah mula ditunjukkan oleh mereka berempat (pemain import) semasa perlawanan persahabatan sebelum ini.
“Sudah pasti apa yang mereka tampilkan perlu diterjemahkan dengan sebaik mungkin dalam saingan sebenar nanti,” katanya.
Biarpun dibarisi gandingan pemain-pemain lama dan baharu, Alberts optimis Sarawak mampu menjadi pasukan digeruni dan disegani dalam kancah Liga M musim baharu ini.
Pada masa sama, beliau percaya kombinasi Griffiths dan Mehmet mampu menggerunkan jentera pertahanan pasukan lawan.
“Mereka berdua (Griffiths dan Mehmet) mampu menjadi penggempur terbaik. Saya percaya mereka berdua mampu melakukannya musim ini,” ujarnya.
Musim baharu Liga M akan bermula pada 7 Februari depan dengan Sarawak ketika ini dalam rangka persiapan terakhir menghadapi musim baharu ini.
Sehubungan itu, KLSPA bakal diuji Sarawak di Stadium Negeri pada 6 Januari ini (Selasa) selain 11 Januari menentang Sabah yang dibarisi bekas bintang Liverpool, El Hadji Diouf.
Persiapan Sarawak terakhir dengan menghadapi beberapa perlawanan persahabatan di Semenanjung Malaysia sebelum memulakan aksi pada Liga M nanti.
No comments:
Post a Comment