Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak berhasrat untuk mengubah jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) 2015 yang telah diedarkan kepada semua pasukan bertanding kelmarin.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata susunan jadual berkenaan dipersetujui oleh pasukan bertanding dan sekretariat FAM menerima maklum balas yang positif daripada mereka mengenai perkara tersebut.
“Kita di pihak sekretariat FAM sedaya upaya memenuhi setiap maklum balas dan cadangan tambahan yang dikemukakan oleh setiap pasukan bertanding,” katanya.
Afandi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, berkata jadual perlawanan yang diedarkan itu turut mengambil beberapa faktor lain.
Antaranya perlawanan persahabatan skuad kebangsaan, persiapan skuad B-23 ke Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini serta penyertaan Pahang dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kata Afandi.
“Pada tahun ini, beberapa perlawanan akan diadakan pada bulan Ramadan, jadi perlawanan di negara ini akan bermula lebih kurang 9.45 malam berbanding waktu normal 8.45 malam manakala di Stadium Jalan Besar, Singapura dari pukul 7.45 malam kepada pukul 8 malam bagi memudahkan pemain (beragama Islam) menunaikan ibadat terawih,” katanya.
Liga Malaysia 2015 bakal membuka tirai dengan aksi perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah pada 31 Jan ini antara juara Liga Super, JDT menentang juara Piala Malaysia, Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Ia akan disusuli dengan perlawanan Liga Perdana dan Super masing-masing pada 6 dan 7 Februari ini.
Pemenang perlawanan sumbangsih akan menerima tiga mata. — Bernama
Baca Lagi
> Skuad Piala Presiden Semakin Mantap
> PKNS 2 - 1 Sarawak
Baca Lagi
> Skuad Piala Presiden Semakin Mantap
> PKNS 2 - 1 Sarawak
No comments:
Post a Comment