Saturday, February 21, 2015

Sarawak 0 - 0 Pahang

Photo by : Dunia Sukan Online

Hasrat Ngap Sayot menerobos Pahang tidak kesampaian apabila terpaksa seri tanpa jaringan pada aksi Liga Super 2015 di Stadium Negeri, di sini malam tadi.

Ketika perlawanan baharu berusia tujuh minit pemain pertahanan Sarawak, Mohd Dzulazlan Ibrahim dilayangkan kad kuning oleh pengadil kerana mengasari pemain import Pahang, Dickson Nwakaeme.

Bagaimanapun, minit ke-13 pemain import Sarawak Ivan Fatic hampir-hampir menjaringkan gol setelah menerima lorongan cantik daripada Joseph kalang Tie dari arah bahagian tengah.

Pasukan tuan rumah juga hampir dikejutkan dengan jaringan pada minit ke-20 apabila pemain import Pahang, Matias Conti melakukan tandukan namun bola mudah ditangkap kemas penjaga gol Sarawak, Mohd Fadzley Ibrahim.

Sebelum rehat babak pertama, Ryan Griffiths juga hampir-hampir memperolehi jaringan apabila menerima hantaran cantik sepakan percuma daripada Ivan Fatic namun tandukannya tersasar.
Babak kedua, pasukan pelawat (Pahang) terus mengasak kubu Sarawak untuk memburu jaringan menerusi rangkaian penyerangnya dikemudikan oleh Matias Conti.

Minit ke-68, Sarawak melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan Nazri Kamal dan mengeluarkan Shreen Tambi.

Sementara itu, pada minit ke-73 Sarawak mengeluarkan Mohd Dzulazlan dan memasukan Hairol Mokhtar bagi mengukuhkan benteng pertahanan.

Minit ke-75, giliran Ashri Chuchu melakukan percubaan namun bola melepasi palang gol Pahang.
Minit-minit terakhir Sarawak cuba memberi tentangan sengit buat Pahang namun percubaan Ivan Fatic pada minit ke-89 juga gagal menemui sasaran.

Walaupun perlawanan agak ‘tegang’pada minit-minit terakhir namun penyokong tegar pasukan Ngap Sayot tetap tidak berganjak menyemarakkan sokongan.

Sehingga wisel penamat perlawanan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata setelah berkesudahan seri tanpa jaringan.

No comments:

Post a Comment