Pemain import Sarawak, Ronald Hikspoors yang mengalami kecederaan serius ketika menentang Selangor di Stadium Shah Alam malam Sabtu lalu mungkin di rehatkan untuk beberapa perlawanan akan datang.
Hikspoors berasal dari Belanda dikeluarkan seawal minit kedua perlawanan menyaksikan Sarawak tewas 2-0 dipangkuan pasukan Gergasi Merah.
Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata pemain terbabit akan menjalani imbasan ‘Magnetic Resonance Imaging’ (MRI) bagi mengenal pasti kecederaan yang dialaminya.
“Dalam minggu ini, kita akan mengetahui kecederaan yang dialaminya namun saya menjangkakan pemain itu mengalami ‘achilles tear’.
“Ini merupakan kecederaan serius dan mungkin Ronald (Hikspoors) perlu direhatkan dalam beberapa perlawanan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dengan kecederaan yang melanda Hikspoors, Sarawak kini bergantung harap kepada tiga lagi pemain import iaitu Billy Mehmet, Ivan Fatic dan Ryan Griffiths.
Mengulas lanjut mengenai kecederaan pemain, Alberts berkata pemain-pemain lain berada dalam keadaan baik.
“Perlawanan akan datang kita mungkin akan menurunkan semula Ronny Harun yang direhatkan pada perlawanan lalu,” katanya.
Selain itu, Fatic juga kembali diturunkan selepas digantung satu perlawanan.
Perlawanan seterusnya menyaksikan anak-anak buah Alberts akan menentang PDRM pada 3 April di gelanggang lawan.
Sarawak kini menghuni tangga kesembilan liga dengan mengutip lima mata hasil sekali menang, dua seri dan dua kekalahan.
No comments:
Post a Comment