Tuesday, December 30, 2014

Ben King Mungkin Milik Sarawak?

Pertahanan muda dari England, Ben King perlu memanfaatkan tempoh selama 10 hari untuk mendapatkan kepercayaan Ketua Jurulatih Sarawak, Robert Alberts.

Ben, 21, mula menjalani ujian sejak semalam dan bakal menjadi pemain ke- 25 skuad Ngap Sayot jika berjaya menarik minat Alberts.

Ben pernah menjalani ujian bersama Johor Darul Takzim (JDT) selama tiga minggu namun gagal menarik minat jurulatih Bojan Hodak.

Beliau beralih arah dengan memilih Sarawak selepas dicadangkan oleh bekas rakan sepasukannya di England dan bekas pemain Ngap Sayot, Junior Eldstal.

Sebelum ini, Ben bermain bersama pasukan Tonbridge Angels yang bersaing dalam Liga Premier Ryman Isthmian di England.

Beliau memegang pasport England di mana ayahnya seorang British manakala ibunya berasal dari Melaka.

Sarawak mengambil keputusan menambah dua lagi pemain selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan peraturan baharu setiap pasukan boleh menyenaraikan 26 pemain untuk bersaing dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Sebelum ini, mereka telah mempunyai 24 pemain termasuk empat pemain import asing.

Seorang lagi pemain yang diserapkan semula ke dalam skuad Sarawak ialah Azizan Saperi.

Sementara itu, Alberts bercadang mengadakan siri jelajah pramusim kedua buat pasukan Ngap Sayot di Semenanjung Malaysia selepas perlawanan persahabatan menentang SPA FC (6 Januari) dan Sabah (11 Januari) di sini.

Skuad yang dijangka menjadi ‘sparring’ Sarawak adalah Pulau Pinang dan Selangor PKNS namun tarikh perlawanan masih belum diputuskan.

Kempen Liga Super musim depan akan bermula pada 7 Februari 2015

No comments:

Post a Comment