Harapan Malaysia untuk menjulang Piala AFF Suzuki 2014 punah apabila tewas 4-3 menerusi agregat kepada Thailand walaupun mencatatkan kemenangan 3-2 pada perlawanan akhir kedua yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Pada pertarungan sengit penuh mendebarkan itu, Malaysia yang disokong padu oleh lebih 90,000 penyokong termasuk Ultras Malaya, terus melancarkan serangan bertali arus sebaik sahaja pengadil dari Iran, Faghani Alireza Mohammad meniup wisel permulaan.
Usaha itu berhasil apabila Faghani menghadiahkan sepakan penalti kepada Malaysia pada minit keenam tatkala penyerang Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan dalam kotak penalti.
Maestro di tengah padang, Safiq Rahim dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti mengatasi penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan.
Skuad ‘War Elephants’ bagaimanapun bangkit apabila mengatur gerakan-gerakan berbahaya menerusi pemain sayap lincah mereka, Thawikan Kroekrit dan pemain tengah Chanathip Songkrasin, namun benteng pertahanan mereka diketuai oleh Muhammad Shukor Adan berjaya bertahan.
Stadium Nasional bergema lagi apabila Indra Putra Mahayuddin menanduk masuk gol kedua Malaysia menerusi hantaran lintang Norshahrul pada masa kecederaan babak pertama sekali gus meletakkan skuad Harimau Malaya di kedudukan selesa menuju ke 45 minit kedua.
Babak kedua bermula dengan rentak sama dengan keyakinan penyokong membuak-buak apabila Malaysia mendahului 3- 0 menerusi satu lagi gol Safiq pada minit ke-58. Pada kedudukan itu, Malaysia sudah mendahului 3-2 menerusi agregat dan berada di landasan tepat untuk merangkul kejuaraan.
Bagaimanapun, skuad bimbingan Kiatisuk Senamuang yang rata-rata dibarisi pemain muda enggan mengalah, malah bangkit mengasak untuk mencari gol.
Anak-anak buah Dollah Salleh bagaimanapun tersentak apabila Thailand menjaringkan gol pertama mereka pada perlawanan malam tadi menerusi pemain sensasi, Charyl Chappuis pada minit ke-82 sekali gus meruntun harapan penyokong tuan rumah.
Segala harapan Malaysia untuk menjulang piala tersebut musnah sama sekali apabila Thailand meledakkan gol kedua pada minit ke-87 menerusi Chanathip Songkrasin.
No comments:
Post a Comment