Monday, February 9, 2015

FELDA UNITED 3 - 3 SARAWAK


Mohd Shahrol Saperi muncul wira Sarawak selepas berjaya menjaringkan gol pada minit akhir perlawanan sekali gus membolehkan anak-anak buah Robert Alberts membawa pulang satu mata dari gelanggang lawan malam kelmarin.

Beraksi di Stadium Selayang, Kuala Lumpur menentang Felda United kejayaan mencatat keputusan seri 3-3 itu ternyata melegakan Alberts meskipun dua pemain utama tidak diturunkan.

Pada perlawanan itu, Sarawak beraksi tanpa penjaga gol utamanya, Mohd Fadzley Ibrahim dan pemian import, Ryan Griffiths yang mengalami kecederaan.

Perlawanan pembukaan Liga Super 2015 itu juga menyaksikan Alberts menyenaraikan Shreen Tambi dalam kesebelasan utama dan Iqbal Suhaimi selaku penjaga gol.

Alberts yang dihubungi semalam berkata, setiap pemain telah menampilkan permainan yang baik sehingga tamat perlawanan.

“Kita boleh lihat semua pemain menunjukkan kemampuan yang tersendiri seperti mereka miliki. Saya rasakan perlawanan itu seimbang untuk kedua-dua pasukan,” katanya.

Menurutnya, kejayaan mencuri satu mata di gelanggang lawan amat bermakna kerana Felda United merupakan pasukan mantap.

Beliau turut memuji aksi ditunjukkan Shahrol yang berjaya membantu rakan menjaringkan gol penyamaan pada akhir saingan.

Perlawanan itu menyaksikan Sarawak terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Billy Mehmet pada minit ke-13 selepas menerima hantaran lintang cantik daripada Joseph Kalang Tie.

Kemudian Felda United menyamakan kedudukan pada minit ke-30 menerusi sepakan penalti disempurnakan Bojan Miladinovic.

Ndumba Makeche memberi keceriaan kepada penyokong Felda United pada minit ke-48 membolehkan pasukan kelab itu mendahului Sarawak 2-1.

Sarawak mengikat Felda United 2-2 menerusi Mohd Hairol Mokhtar pada minit ke-76 namun Edward Junior Wilson kembali meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-85.

Bagaimanapun, Shahrol kemudiannya muncul wira apabila berjaya menyamakan kedudukan buat Sarawak pada akhir perlawanan.

Perlawanan seterusnya menyaksikan Sarawak menanti kunjungan Terengganu di Stadium Negeri pada 14 Februari ini.

No comments:

Post a Comment