Wednesday, April 15, 2015

ATM ‘pecat’ Sathianathan

Sarawak menerima kunjungan ATM yang turun ke Kuching sabtu depan tanpa ketua jurulatih!


JURULATIH skuad Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan diarah ‘berehat’ serta-merta. Puncanya hanya satu, iaitu ekoran prestasi hambar skuad yang mendapat jolokan The Gladiators itu dalam saingan Liga Super musim ini.

Selepas mengharungi tujuh perlawanan, ATM kini menghuni tangga kedua tercorot dengan empat mata.

Justeru, tanpa belas kasihan, pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak ATM (PBATM) tanpa teragak-agak mengambil keputusan ‘merehatkan’ Sathianathan.

Arahan untuk berehat itu mungkin boleh diterima oleh Sathianathan tetapi cara pihak pengurusan PBATM menyampaikan berita mengejut itu tidak melambangkan sikap yang profesional persatuan berkenaan.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden PBATM, Mejar Jeneral Datuk Mazlan Kasap di hadapan semua pemain skuad The Gladiators sebelum mereka memulakan latihan di padang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Shah Alam semalam.

Lebih mengecewakan, keputusan tersebut dibuat tanpa ada perbincangan dengan Sathianathan.

Mengulas keputusan tersebut, Sathianathan tanpa berselindung menjelaskan bahawa beliau berasa kecewa dengan sikap kurang profesional pihak pengurusan pasukan yang membuat pengumuman tersebut di hadapan para pemainnya.

“Mereka mengambil tindakan tersebut tanpa ada sebarang perbincangan. Saya sangat kecewa dan sedih dengan sikap kurang profesional ditunjukkan PBATM. Dari sudut kontrak, mereka sudah melanggar perjanjian. Mereka seharusnya mengadakan perbincangan dengan saya sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kita sudah berada di era profesional dan mereka seharusnya memanggil saya dulu untuk berbincang sama ada mahu memecat, ‘merehatkan’ atau melanjutkan kontrak,” jelas Sathianathan.

http://www.kosmo.com.my/

Monday, April 13, 2015

Sarawak 2 - 1 Sime Darby

Sarawak menamatkan rentetan tiga kekalahan apabila jaringan Patrick Gerhardt dan Billy Mehmet memastikan skuad bimbingan Robert Alberts menumpaskan Sime Darby 2-1 biarpun menamatkan perlawanan dengan 10 pemain dalam aksi Liga Super 2015 di Stadium Negeri, malam tadi.

Pemain pertahanan Rames Lai Ban Huat dilayangkan kad merah terus oleh pengadil Mohd Nafeez ekoran tindakannya menyiku muka pemain Sime Darby, Fahrul Razi Kamaruddin pada minit ke-40.

Perlawanan agak seimbang dalam 10 minit pertama sepak mula, namun Sime Darby kemudian mengatur rentak dengan mengasak kubu Sarawak.

Ivan Fatic pasrah menyaksikan rembatan kencangnya dari luar kotak penalti tersasar pada minit ke-22 dan Sarawak tidak sempat berpesta apabila jaringan Patrick seminit kemudian dibatalkan kerana ofsaid.

Penjaga gawang Sarawak Mohd Fadzley Abdul Rahim pula mudah menangkap sepakan leret pemain Sime Darby, Nemanja Vidacovic pada minit ke-27 disusuli percuma Marco Perovic yang nyaris menggegarkan gawang Ngap Sayot pada minit ke-37.

Selepas itu berlaku drama di padang apabila Rames disingkirkan kerana menyiku Fahrul Razi dan pengendali Sarawak, Robert Alberts terpaksa membuat percaturan baharu dengan memasukkan Mazwandi Zekeria menggantikan Joseph Kalang Tie pada minit ke-44.

Babak kedua menceriakan penyokong Bujang Senang apabila Patrick menebus kekecewaannya dengan merobek gawang Sime Darby pada minit ke-47.

Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Sime Darby dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Ivan di dalam kotak penalti.

Reinaldo Elias da Costa tidak melakukan kesilapan apabila menyempurnakan sepakan untuk mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-57.

Pada minit ke-66, Alberts memasukkan Asri Chuchu menggantikan Shreen Tambi dalam usaha mencari gol bagi menamatkan kemarau kemenangan Sarawak.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila Billy yang menerima hantaran cantik daripada Asri melakukan ‘volley’ dari jarak 30 meter, sekali gus menjadikan kedudukan 2-1.

Sarawak semakin agresif pada babak akhir perlawanan walaupun tempang 10 pemain sehinggalah wisel penamat dibunyikan selepas tiga minit masa tambahan.

Utusan Borneo

Monday, April 6, 2015

FAS kemuka rayuan kepada FAM daftar dua pemain baharu

Sarawak telah mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mendaftar dua lagi pemain tempatan baharu bagi menggenapkan seramai 26 pemain dalam skuad itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman berkata Sarawak masih mempunyai dua kuota pemain untuk diisi kerana mereka hanya mendaftar 24 pemain pada awal musim.

“Undang-undang membenarkan kita mendaftar seramai 26 pemain. Tetapi, kita hanya mendaftar seramai 24 pemain pada awal musim kerana beranggapan mungkin ada pemain tempatan yang berkualiti untuk diserap masuk.
“Malangnya, FAM memaklumkan kepada kita (Sarawak) tidak dibenarkan mendaftar pemain baharu kerana sudah mempunyai 24 pemain dalam skuad,” katanya di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau berharap FAM akan mempertimbang rayuan FAS untuk mendapatkan dua lagi pemain dalam tempoh jendela perpindahan pemain dibuka sejak dua hari lalu.

Bekas pemain sayap Sarawak, Azizan Saperi yang juga adik kepada Shahrol Saperi sebelum ini dikatakan akan diserap semula dalam skuad semasa jendela perpindahan pemain.

Setakat ini, aktiviti perpindahan pemain skuad Sarawak hanya melibatkan pengambilan Patrick Gerhardt bagi menggantikan Ronald Hikspoors yang mengalami kecederaan.

Pemain pertahanan dari Liberia itu diperkenalkan secara rasmi kelmarin.

Sudarsono juga berharap pemain Ngap Sayot tidak ditimpa kecederaan serius atau digantung perlawanan untuk tempoh panjang dalam mengharungi kancah Liga Super semakin sengit.

Menurutnya, dua musibah itu akan merencatkan peluang mereka untuk memburu kemenangan tambahan pula Sarawak tidak boleh terlalu mengharapkan pemain-pemain simpanan kerana mereka kurang pengalaman dalam saingan liga yang sangat mencabar meskipun mempunyai potensi tinggi.

Utusan Borneo

Sunday, April 5, 2015

Sudarsono Tinggalkan Harimau Malaya

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datu Sudarsono Osman mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengurus skuad kebangsaan berkuat kuasa serta-merta selepas hampir 10 bulan menduduki kerusi panas itu.

Menurut Sudarsono, komitmennya terhadap tugasnya bersama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan skuad Sarawak menjadi punca utama peletakan jawatan beliau itu.

Katanya, beliau memang sudah lama berniat untuk mengundur diri kerana tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap skuad kebangsaan disebabkan masalah logistik.

“Saya telah menulis surat kepada Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad dan Exco FAM berhubung perkara ini,” katanya di sini semalam.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) itu dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan pada Julai 2014 bagi menggantikan Datuk Subahan Kamal.

“Sebenarnya, saya telah menyatakan niat untuk meletak jawatan (pengurus pasukan negara) selepas Kejohanan Piala Suzuki lalu kerana berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan pada kejohanan itu,” katanya.

Sehubungan itu, Sudarsono percaya pemain pertahanan import baharu pasukan Sarawak iaitu Patrick Gerhardt mampu menggalas tugas yang ditinggalkan oleh Ronald Hikspoors akibat kecederaan.

“Patrick mempunyai rekod yang baik ketika bermain bersama kelab Melbourne Heart dalam Liga Australia sebelum ini.
“Saya juga difahamkan beliau pernah bersaing dengan Billy (Mehmet) dalam liga tersebut dan prestasinya mendapat komen positif daripada rakan sepasukan,” tambahnya.

Beliau juga berharap Patrick dapat membantu skuad Sarawak meraih kemenangan dalam beberapa baki saingan Liga Super musim ini.

Sudarsono juga yakin Patrick dapat melakukan penampilan pertama esok (Jumaat) menentang PDRM meskipun belum mendapat surat pelepasan daripada kelab lamanya di Iraq.

“Kita telah menghubungi kelab lamanya di Iraq semalam dan yakin mereka akan memberi pelepasan kepada Patrick secepat mungkin,” katanya.

Sarawak akan menentang PDRM di Stadium Shah Alam malam esok pada kancah Liga Super 2015.

Thursday, March 26, 2015

Ujian Calon Import : Sarawak vs Yayasan Sarawak

Skuad Sarawak ketika ini dalam proses menguji tiga calon Import iaitu Bogdan Vasille Panait, 31 (Romania), Patrick Gehardt, 29 (Liberia) dan Thimothy Dreesen, 28 (Belgium). Kredibiliti calon-calon import itu akan dinilai sepenuhnya petang ini apabila sekuad Sarawak akan turun menentang Yayasan Sarawak dalam aksi persabahatan di Stadium Negeri, Petra Jaya petang ini (4.00 petang) sebagai mengisi kekosongan posisi ditinggalkan Ronlad Hikspoor yang ditimpa kecederaan.

Utusan Sarawak