Monday, November 17, 2014

PENSWASTAAN LIGA-M DITANGGUH SEHINGGA 2016

Penswastaan Liga Malaysia (Liga-M) pada tahun depan ditangguh sehingga 2016, menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.
Presidennya Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah rancangan itu terpaksa ditangguhkan berikutan setiap persatuan dan kelab perlu memenuhi kriteria utama iaitu wajib mendapatkan lesen seperti dilaksanakan oleh liga profesional di luar negara.

"Kami masih berbincang tentang penswastaan Liga-M ini...beri kami masa dan saya akan umumkan nanti. Mungkin penswastaan Liga-M dilaksanakan pada 2016. 

"Dari aspek lain pula, kita tidak mahu memberi tekanan kepada kelab dan persatuan negeri," titah baginda pada sidang media majlis penyampaian cek penajaan oleh Bank Islam Berhad (Bank Islam) kepada FAM di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Mengenai masalah pembayaran gaji pemain, Tengku Abdullah bertitah pihaknya sedang meneliti mekanisme baharu bagi membantu persatuan negeri menyelesaikan masalah itu.

"Dulu, saya pernah meletakkan peraturan gaji siling kepada pemain dan memang kita boleh mengawal masalah pembayaran gaji ketika itu. Kami masih mengkaji mekanisme bersesuaian seperti diguna pakai oleh negara Eropah.    

"Kita selalu nasihat persatuan dan kelab berhubung isu pembayaran gaji ini sebab kita tidak mahu timbul masalah tunggakan gaji, kalau tidak mampu jangan menjanjikan 'bulan dan bintang' tetapi hakikatnya tidak mampu hendak bayar," titah baginda.

Media tempatan hari ini melaporkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa berkata Liga-M dilabel antara liga  yang membabitkan kos tertinggi di rantau ini dari segi pembayaran gaji pemain yang disifatkan 'agak lumayan' ketika ini.

Annuar berkata Liga-M dipercayai sudah mengalahkan liga lain di  Australia, Singapura dan Thailand dalam aspek itu. Sekiranya perkara ini tidak dibendung, Annuar berpendapat arena bola sepak negara hanya akan dimonopoli pasukan yang memiliki sumber kewangan yang besar.

Katanya setiap pasukan memerlukan lebih RM12 juta setahun hanya untuk membayar gaji pemain andai permintaan gaji antara RM30,000 sehingga RM50,000 bagi setiap pemain.

Sumber : StadiumAstro

No comments:

Post a Comment